Rayuan SRC: Tengku Maimun perlu digugurkan kerana kecenderungan suaminya – Najib



PUTRAJAYA: Permohonan untuk mengecualikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dari prosiding rayuan berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd telah difailkan pada Isnin.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Persekutuan mengenai perkara itu pagi ini.

Selain itu, pembelaan juga telah membuat keputusan untuk memberi hujah balas kepada hujahan Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V Sithambaram, berhubung apa yang perlu mahkamah lakukan jika pembelaan enggan memfailkan hujahan lisan atau bertulis.

Tengku Maimun kemudian memutuskan agar perkara kedua didengari dahulu sebelum pihak Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan menyediakan dokumen berkaitan permohonan mengecualikan beliau dari mendengar rayuan kes Najib.


Mengikut dokumen permohonan yang diperoleh Astro AWANI, sekiranya relif diberikan terhadap permohonan tersebut, perayu memohon untuk satu sidang dan satu panel baharu Mahkamah Persekutuan ditetapkan bagi mendengar rayuan utama.

Dalam dokumen afidavit susulan, Najib berkata, permohonan itu bukan dibuat untuk mengaibkan Mahkamah (terutama sekali Pengerusi Panel), dan prosiding-prosiding yang sedang berlangsung namun dibuat di dalam kepentingan melindungi kebebasan badan kehakiman.

Lebih-lebih lagi, jelas Ahli Parlimen Pekan itu, badan kehakiman sentiasa menjaga penuh reputasinya terhadap pandangan awam.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa individu yang bernama Zamani Ibrahim adalah suami kepada Yang Amat Arif Tengku Maimun, yang merupakan pengerusi panel hakim yang kini sedang mendengar rayuan akhir saya dalam kes SRC di Mahkamah Persekutuan.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa perkembangan-perkembangan baharu ini sungguh membimbangkan dalam mengambil kira fakta bahawa Zamani jelas mempunyai pandangan yang negatif terhadap kepimpinan saya terhadap negara ini sebagai seorang perdana menteri dan telah menyimpulkan bahawa saya telah menyalur keluar dana-dana harta negara ke dalam akaun akaun peribadi saya,” katanya lagi.

Oleh kerana Zamani merupakan suami pengerusi panel hakim prosing itu, Najib berkata, beliau khuatir Zamani akan mempengaruhi pemikiran Tengku Maimun berhubung tuduhan yang sedang dihadapinya.


“Saya selanjutnya menyatakan bahawa oleh kerana sifat hubungan suami-isteri mereka, adalah berkemungkinan bahawa pemikiran pengerusi yang bijaksana mungkin telah terkesan tanpa disedari olehnya melalui sentimen-sentimen suami Yang Amat Arif Ketua Hakim terhadap saya.

“Berdasarkan perkara-perkara di atas, sebarang dapatan-dapatan diperolehi oleh Mahkamah Yang Mulia ini terhadap saya akan diragui, di mana pemerhati termaklum dan berfikiran adil (informed and fair-minded observer) akan berpendapat bahawa keputusan-keputusan yang tercapai adalah tercemar dengan bias dan pandangan awam terhadap kebebasan badan kehakiman akan diragu,” katanya lagi.

Najib berkata, beliau membuat permohonan tersebut selepas beberapa rayuan sebelum ini, termasuk memasukkan bukti baharu berkenaan Hakim Bicara (Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali), permohonan mendapatkan khidmat Peguam Kanan United Kingdom Jonathan Laidlaw, serta rayuan menangguhkan perbicaraan ditolak sebelum ini.

Ketika ini, Tengku Maimun mengarahkan mahkamah untuk berehat seketika sementara menunggu Pejabat Ketua Pendaftar menyiapkan dokumen permohonan itu (recusal), dan diserahkan kepada panel lima hakim.

Selain Tengku Maimun, panel itu dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Tengku Abang Iskandar Abang Hashim, serta Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. – Awani

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram