Sokongan ketua hakim negara terhadap ‘Walk of Justice’ bukti berat sebelah, kata Hisyam



PUTRAJAYA: Peguam utama Najib Razak berhujah tindakan ketua hakim negara membenarkan penangguhan untuk “Walk of Justice” Badan Peguam adalah bukti berat sebelah Tengku Maimun Tuan Mat dalam rayuan SRC International Najib Razak.

Hisyam Teh Poh Teik berkata, penangguhan yang diberikan untuk acara itu, bagi menyokong hakim Nazlan Ghazali, yang mengetuai perbicaraan SRC International di Mahkamah Tinggi, menunjukkan Tengku Maimun mungkin tidak dapat meneliti permohonan baharu Najib supaya beliau menarik diri dengan fikiran terbuka.

Jun lalu, peguam mengundi menyokong resolusi Badan Peguam dalam mesyuarat agung luar bisanya bagi mengutuk siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas Nazlan.

Pasukan pembelaan Najib sebelum ini memohon untuk mengemukakan keterangan baharu untuk rayuan SRC International beliau berhubung dakwaan konflik kepentingan Nazlan kerana pernah berkhidmat sebagai peguam dan ketua setiausaha Kumpulan Maybank.


Permohonan itu bagaimanapun ditolak.

Hisyam turut berkata, Badan Peguam sendiri mengeluarkan pekeliling kepada ahlinya bagi memaklumkan ahlinya boleh memohon penangguhan kes mereka pada 17 Jun lalu.

Tetapi, Tengku Maimun tidak terpengaruh dengan hujah Hisyam.

Katanya, mahkamah biasanya akan membenarkan peguam menangguhkan kes mereka jika mereka perlu menghadiri acara Badan Peguam, termasuk mesyuarat agung tahunan atau luar biasa pada hari bekerja.

Hisyam bagaimanapun mengesahkan jawapannya dengan berkata, Tengku Maimun mungkin tidak objektif dalam mengadili kes itu.

Terdahulu, pihak pembelaan memberitahu mahkamah bahawa Najib memfailkan satu permohonan supaya Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan itu atas alasan suaminya, Zamani Ibrahim, mempunyai “sentimen negatif” terhadap kepimpinannya, yang dinyatakan dalam catatan Facebook selepas pilihan raya umum ke-14.

Tetapi, Pendakwa Raya ad hoc, V Sithambaram berkata, permohonan untuk menarik diir itu ialah cubaan untuk menghalang perbicaraan.


Katanya, Najib tahu mengenai catatan Facebook itu sejak rayuan terakhirnya bermula minggu lalu, tetapi memilih untuk mendiamkan diri.

“Beliau boleh lakukannya (membuat bantahan), tetapi beliau tidak lakukannya.”

Hisyam kemudian meminta mahkamah membenarkan peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin untuk membantunya dan berhujah permohonan Najib supaya Tengku Maimun menarik diri, tetapi ditolak Sithambaram dengan berkata “ini ialah mahkamah bukannya sarkas”.

Firoz memohon mahkamah memberi masa kepadanya untuk mendapatkan arahan Najib bagi berhujah, namun permohonannya ditolak Tengku Maimun.

“Tuan Haji (Hisyam) sudah membuat hujah komprehensif,” kata Tengku Maimun sambil menambah mahkamah akan bersidang semula pada petang ini untuk menyampai keputusannya berhubung permohonan menarik diri. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram