Rayuan SRC: Mahkamah tolak permohonan Najib untuk gugurkan Tengku Maimun



PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mendapati Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat tidak perlu menarik diri daripada menghakimi rayuan terakhir bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International.

Barisan lima hakim diketuai Tengku Maimun sendiri berkata pihak pembelaan tidak memberikan sebab-sebab munasabah kenapa beliau patut menarik diri.

Hakim lain adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim; Nallini Pathmanathan, Mary Lim, dan Zabidin Mohamad Diah.


Terdahulu, Najib memohon Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuannya atas alasan suami beliau, Zamani Ibrahim, mempunyai “sentimen negatif” terhadap kepimpinannya, yang dinyatakan di Facebook selepas PRU14.

Zamani menulis tentang kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada 9 Mei 2018 dan didakwa gembira Najib digulingkan.

Najib merayu terhadap pensabitan tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah, salah guna kuasa, dan pengubahan wang, membabitkan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram