PAS takkan berani kerjasama dengan Umno, kata pemimpin Bersatu



PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu yakin PAS tidak berani bekerjasama dengan Umno pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana parti itu bersetuju sejak awal melancarkan jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Eddin Syazlee Shith berkata PAS tidak pernah memaklumkan mahu bekerjasama dengan Umno sepanjang berada dalam PN. 

“Kita sudah lancarkan jentera PN, takkanlah PAS mahu kerjasama dengan Umno lagi. Saya tidak fikir ahli-ahli PAS tidak mengikuti keputusan yang telah dipersetujui bersama parti komponen PN,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan tafsirannya, dakwaan kerjasama PAS-Umno setakat hubungan serta persefahaman sesama parti politik.


“Terjemahan kerjasama ini boleh dalam pelbagai cara dan bagi saya, saya yakin apa yang disebut itulah dia. Kalau PAS mahu mengekalkan hubungan dengan Umno, tiada masalah untuk saya.

“Yang saya tahu, untuk ber­depan pilihan raya nanti, PAS memang bersama Bersatu dalam PN. Namun, terlalu awal kita menjangkakan semua kemungkinan ini. Tetapi, apabila Umno sendiri tidak menyambut saranan PAS, ini kena fikir sendirilah.”

Pada 4 Sept lalu, Muktamar PAS ke-68 meluluskan usul meneruskan kerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional untuk memastikan situasi satu lawan satu pada PRU15.

Baru-baru ini, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dilaporkan mendakwa terdapat rundingan antara pemimpin tertentu Umno dan PAS mengenai keperluan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.


Susulan itu, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin pada 8 Sept lalu berkata, rundingan didakwa antara PAS dan Umno itu diadakan secara tidak rasmi serta tidak membabitkan pucuk pimpinan parti.

Katanya, tiada sebarang kemajuan dicapai daripada rundingan itu dan PAS mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dengan parti komponen PN.

Seorang lagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman berkata, rancangan PAS seolah-olah menimbulkan kekeliruan bagaimana mahu berdepan pesaing sebenarnya pada PRU15 nanti.

Jika benar wujud kerjasama yang didakwa itu, katanya, PAS mesti menjelaskan “kerjasama” itu sama ada setakat jalinan persefahaman antara kedua-dua parti. – FMT




ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram