PAS tetap anggap UMNO rakan ta'wun demi bina negara diredai tuhan



PAS masih menganggap Umno sebagai rakan ta'awun (kerjasama), dalam matlamatnya untuk membina sebuah negara yang diredhai Allah SWT.

Ini walaupun pihak tertinggi Umno bersikap 'dingin' terhadap PAS di tengah-tengah percubaan berterusan untuk menjalinkan semula hubungan mereka yang dilihat semakin hambar.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memaklumkan jawatankuasa kerja pusat parti itu hari ini bersetuju untuk meneruskan agenda perpaduan ummahnya - yang katanya, menjadi teras kepada penyatuan Melayu-Islam, Bumiputera, dan kaum lain dalam menstabilkan negara.

"Justeru itu PAS kekal menganggap semua pihak yang bernaung di bawah gagasan penyatuan ummah termasuk Umno sebagai rakan Ta’awun terutama dalam membina negara yang baik dan diredai Tuhan," katanya.


Sehubungan itu, kata Takiyuddin PAS akan terus bersikap terbuka serta sedia mengadakan pertemuan, perbincangan dan perundingan bersama semua rakan-rakan Ta’awun

"Dengan memfokuskan kepada titik-titik persamaan dan merapatkan sebarang jurang perbezaan demi kebaikan negara dan rakyat jelata," jelasnya.

Dalam pada itu, Takiyuddin juga berkata PAS tetap bertegas tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan tidak menerima konsep “Khemah Besar” tajaan mana-mana pihak sekalipun dalam menghadapi PRU15 ini.

"PAS amat yakin hanya dengan perpaduan di antara parti-parti Melayu-Islam sahaja akan dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya," katanya.

PAS dan Umno dahulunya membentuk ta'awun siyasi (kerjasama politik) atau disebut juga tahaluf siyasi (perjanjian politik) melalui Muafakat Nasional.


Bagaimanapun, kerjasama ini runtuh selepas PAS menyertai Perikatan Nasional - sebuah gabungan yang diketuai oleh Bersatu, pesaing Umno dan rakan parti pemerintah.

Walaupun bertembung pada pilihan raya di Melaka dan Johor, PAS masih mahu meneruskan kerjasama dengan Umno - pendirian yang jelas ketika muktamar PAS baru-baru ini.

Takiyuddin dan pemimpin PAS lain telah menunjukkan bahawa parti itu sedang mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin Umno "tertentu" - yang tidak melibatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid pada 2 Sept lalu berkata Umno membuat keputusan untuk bergerak solo kerana tindak-tanduk dan sikap PAS yang diumpamakannya “mandi dalam beberapa kolam.”

Bersatu pula menyatakan kebimbangan PAS tidak sehaluan dengannya berhubung kerjasama dengan Umno.

Bagaimanapun, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kelihatan tenang dengan penjelasan PAS bahawa perbincangannya dengan Umno bersifat tidak rasmi. – Mkini




ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram