Lebih 110 ketua Wanita Umno sokong Zahid terus terajui parti



KUALA LUMPUR: Lebih 110 ketua Wanita Umno menyokong Ahmad Zahid Hamidi terus menerajui parti dan memberi kepercayaan kepadanya untuk memulihkan keyakinan rakyat.

Ketuanya Noraini Ahmad berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu memandang ke depan dan bukan meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak.

“Sebaliknya, kita harus ambil iktibar dan pelajaran serta jadikan ia sebagai titik permulaan untuk Umno dan BN mengorak langkah bagi mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat.


“Umno dan BN perlu memandang ke depan demi kelangsungan parti,” katanya dalam kenyataan selepas majlis taklimat isu semasa Wanita Umno serta sokongan kepada Zahid di Menara Dato Onn.

Noraini menyeru seluruh ahli Umno memberi kepercayaan, keyakinan dan bersolidariti dengan Zahid.

“Keputusan PRU15 adalah isyarat jelas daripada rakyat yang harus diinsafi dan dihormati ahli Umno dan BN. Kita perlu akur menerima dan menghormati mandat yang diberikan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Batu, Yahya Mat Ghani, yang mengkritik Zahid sebelum ini akur keputusan parti untuk bersama dalam kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, Zahid berhak menentukan hala tuju Umno sama ada membentuk kerajaan gabungan dan sebagainya.

“Pucuk pimpinan lebih arif dalam soal ini dan sudah tentu sebagai pucuk pimpinan dia memikirkan soal ‘survival’ parti untuk masa mendatang. Saya rasa langkah presiden (Zahid) sertai kerajaan perpaduan bijak supaya Umno boleh bangkit kembali,” katanya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram