Polis tahan tiga individu dipercayai dera, rogol budak 7 tahun



Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita semalam kerana dipercayai terlibat dengan kes merogol dan mendera seorang kanak-kanak perempuan di Manjung.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung DSP Chong Boo Kim berkata seorang lelaki membawa kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun itu ke sebuah balai polis di Manjung pada 11.50 pagi semalam, selepas menjumpai kanak-kanak itu di tepi jalan dalam keadaan tidak terurus dan kusut.

“Pihak polis menghantar mangsa ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan dipercayai mangsa telah dirogol dan didera serta terdapat kesan kecederaan lama dan baharu.


“Sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung menahan kesemua suspek berusia lingkungan 26 hingga 40 tahun itu di pekarangan sebuah balai polis pada 9.30 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Choong berkata kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau direman hingga 23 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak. − Bernama



Join our Telegram Channel
Telegram