PAS berdepan mogok jika pengundi tak dapat jumpa pakcik 'wallahi saya undi PAS'



PETALING JAYA: Seorang penganalisis percaya isu ‘duit balik mengundi’ akan menjadi topik penting menjelang PRN Kelantan kelak, memandangkan penguasaan PAS di beberapa kawasan boleh tergugat sekiranya rakyat di perantauan tidak pulang untuk membuang undi.

Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata semakan ke atas rekod pilihan raya sejak 2018 menunjukkan PAS bergantung kepada sokongan rakyat Kelantan di perantauan untuk mengatasi penyokong pembangkang, di enam hingga sepuluh kawasan DUN.

Katanya kepada FMT, pengundi “ghairah” pulang mengundi apabila ada ‘duit minyak’. “Dalam keadaan logistik tak berapa kemas … mereka nak pulang pun akan fikir balik.”


“Kalau undi luar tak balik, PAS akan ada masalah.”

Mazlan menjangkakan pentadbiran PAS akan bertahan namun Barisan Nasional-Pakatan Harapan berpotensi merapatkan jurang di Dewan Undangan Negeri.

“Kalau pengundi luar tak balik dan peratusan undi rendah, BN ada peluang tambah kerusi di beberapa kawasan apabila bergabung dengan PH,” katanya.

Ahmad Atory Hussain daripada Universiti Sains Malaysia pula berkata ketiadaan pemimpin Umno yang berwibawa di Kelantan menyukarkan peluang BN-PH memenangi lebih banyak kerusi.


“Harapkan Tengku Razaleigh Hamzah, dia pun sudah kalah di Gua Musang. Harapkan Dr Asyraf Wajdi, dia pun ‘lari’ ke Grik dan kecundang. Lain-lain pemimpin pun tidak segagah mana,” katanya.

Atory percaya bekas Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa, boleh memberi ‘nilai tambah’ kepada PAS di Kelantan, “cuma setakat mana nilai itu tidak pasti.”

Pada kedudukan sekarang, PAS menduduki 37 daripada 45 kerusi DUN di Kelantan dan selebihnya milik BN. Pada PRU15, PAS dan Perikatan Nasional menawan semua kerusi Parlimen di negeri itu. − Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram