MCA enggan ikut jejak UMNO, kekal sokong PN



MCA bertekad untuk melaksanakan resolusi Barisan Nasional bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional sehingga pilihan raya umum akan datang, kata biro politik parti itu selepas mesyuaratnya semalam.

Walaupun ini adalah pendirian yang diambil oleh BN tahun lalu, rakan sekutunya, Umno telah mengambil pendirian yang sangat berbeza mengenai hubungan parti itu dengan kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengetuai sekumpulan 11 ahli parlimen pada hari Selasa yang mengumumkan bahawa mereka menarik sokongan mereka, sementara sekumpulan ahli parlimen Umno yang lain mengatakan bahawa mereka terus menyokong Muhyiddin.


MCA, yang mempunyai dua kerusi di parlimen, telah memutuskan untuk mengekalkan status quo.

"Hakikat dan realiti sekarang jelas, tiada satu pun atau gabungan parti yang boleh membentuk sebuah kerajaan stabil.

"Maka jika kerajaan PN dijatuhkan sekarang, ia hanya akan mengheret negara ke dalam krisis politik yang tidak berkesudahan dan pastinya ia memudaratkan rakyat serta negara.

"MCA berpendapat bahawa keputusan YAB Perdana Menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen September nanti yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, adalah langkah yang tepat, berdasarkan prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan," kata MCA.



Umno dan MCA pertama kali bekerjasama pada tahun 1952 dan membentuk pakatan Perikatan dengan MIC untuk mencatat kemenangan yang luar biasa dengan menawan 51 daripada 52 kerusi pada pilihan raya umum 1955, yang diadakan sebelum Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Namun, sejak tahun 2008, sokongan rakyat terhadap MCA telah merosot. Dari 30 kerusi yang pernah dipegang, hanya dua kerusi yang berjaya disandang ketika ini.

Sementara Umno di bawah Zahid telah menunjukkan ketidakpuasan dengan prestasi Muhyiddin sebagai perdana menteri, MCA dilihat mempunyai pandangan berbeza.

Bagaimanapun, MCA menggesa kerajaan untuk menamatkan bentuk sekatan pergerakan ketika ini.


"MCA juga berpendapat bahawa sudah tiba masanya kerajaan membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat, memandangkan program vaksinasi telah berjaya dilaksanakan dengan pantas kebelakangan ini dan dilihat semakin berjaya mencapai matlamat yang disasarkan.

"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sekarang agak kurang berkesan untuk mengurangkan jumlah kes jangkitan.

"PKP yang berterusan ini akan terus meningkatkan kesengsaraan rakyat yang berhadapan dengan kesukaran mencari rezeki. Vaksinasi rakyat secara menyeluruh merupakan jalan terbaik bagi negara sekarang ini," katanya. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram