PM ada majoriti, macam tak masuk akal – Isham



KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa masih mempunyai majoriti dan bersedia membawa usul undi percaya pada Sidang Dewan Rakyat September hadapan tidak memperlihatkan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil berkata, kenyataan Muhyiddin itu dilihat seperti tidak masuk akal.

“Beliau kata lapan ahli Parlimen UMNO telah menarik balik sokongan daripadanya.

“Sebelum ini beliau ada 114 ahli Parlimen yang menyokongnya, tolak lapan, sekarang tinggal 106. Oleh itu, Muhyiddin kurang lima ahli Parlimen di bawah majoriti 111.


“Daripada mana beliau dapat lagi lima untuk capai majoriti semula itu tidak pula disebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, Muhyiddin perlu menjelaskan segera siapakah ahli-ahli Parlimen tambahan yang menyokongnya ini dan tidak perlu menunggu September hadapan.

“Parti-parti lain termasuk Pejuang dan Warisan telah membuat kenyataan menolak Muhyiddin.

“Jika mereka, PKR dan DAP sokong Muhyiddin sekalipun, maka mereka akan jadi PH 2.0 semula dan UMNO akan terus lawan mereka yang gila kuasa dan menyebabkan ketidakstabilan politik ini,” katanya.


Dalam pada itu Isham berkata, dakwaan Muhyiddin mengenai desakan meletak jawatan datangnya adalah ‘kluster mahkamah UMNO’ hanya alasan untuk menutup kegagalan kerajaan PN.

“Saya merasakan ia hanya untuk mengaburkan hakikat bahawa Muhyiddin sebenarnya sudah tidak ada majoriti dan tidak ada keabsahan.

“Sebelum ini ada beberapa ahli Parlimen yang ada kes tetapi tidak didakwa kerana mereka sokong Muhyiddin atau lompat parti masuk PN,” katanya.

Isham menambah, jika mengikut trend ini, jika kluster mahkamah UMNO ingin menutup kes, mereka boleh sahaja sokong Muhyiddin dan boleh lepas macam ahli Parlimen lain yang ada kes namun mahu elak pergi mahkamah.


“Namun mereka tidak buat demikian sebaliknya mahu lawan di mahkamah untuk membersihkan nama di atas pendakwaan-pendakwaan bermotifkan politik tersebut.

“Saya lihat Muhyiddin tidak mahu letak jawatan sebab jika kerajaan PN jatuh, Muhyiddin dan menteri Kabinetnya sekarang yang kemungkinan besar akan menjadi kluster mahkamah.

“Mereka perlu menjawab berkenaan kes-kes negosiasi langsung berbilion ringgit semasa darurat, kes salah laku seksual luar tabii, kes rasuah dan sebagainya oleh menteri-menteri dan penyokong-penyokong mereka semasa mereka berkuasa,” katanya lagi.

Katanya, di kala rakyat sedang menghadapi wabak Covid-19 yang semakin teruk, ada pemimpin-pemimpin kerajaan dan ahli-ahli Parlimen sibuk bincang projek-projek besar dan timbal balas sokongan politik. – MG


ARTIKEL BERKAITAN:

 

Join our Telegram Channel
Telegram