BERSATU, PAS Melaka ajak UMNO berunding elak saingan 3 penjuru



AYER KEROH: Perikatan Nasional (PN) Melaka mengajak UMNO berunding bagi mengelakkan pertembungan kerusi yang bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata perundingan di antara BERSATU, UMNO dan PAS penting bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru atau empat penjuru ketika berhadapan dengan calon Pakatan Harapan (PH).

Katanya, hanya selepas UMNO menyatakan pendirian sama ada bersedia membuka pintu perundingan atau sebaliknya, PN akan membuat ketetapan jumlah kerusi yang akan ditandingi.


"Yang pasti ialah BERSATU tidak akan bertembung dengan PAS kerana kami sudah bersepakat untuk mengelak pertembungan sesama sendiri," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Melaka yang juga Naib Pengerusi PN Melaka Datuk Kamarudin Sidek.

Mohd Rafiq berkata, PN tidak akan terburu-buru menentukan kerusi yang bakal ditandingi sebelum UMNO menyatakan pendirian mengenai pintu rundingan yang menjadi asas menentukan pembabitan PN dalam PRN.

"Macam mana kita hendak tentukan kerusi mana yang ditandingi oleh BERSATU, kerusi mana PAS tandingi kalau kita belum tahu lagi pendirian UMNO tetapi BERSATU, PAS dan satu lagi parti gabungan dalam PN, iaitu GERAKAN, sentiasa bersifat terbuka," katanya.


Mohd Rafiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, berkata beliau juga belum menentukan sama ada mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya atas tiket BERSATU pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atau sebaliknya.

Mengenai keahlian ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad, dalam BERSATU, beliau berkata, ia sudah gugur secara automatik sejajar Perlembagaan BERSATU yang melarang tindakan menarik sokongan kepada pemimpin tanpa persetujuan parti.

Berikutan tindakan Noor Effandi menarik sokongan kepada bekas Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali semalam, BERSATU hanya tinggal kerusi tunggal Paya Rumput sekarang. – Bharian


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram