PRN Melaka dalam tempoh 60 hari, kata SPR



PETALING JAYA: Satu pilihan raya umum negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari susulan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam kenyataan, Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata pilihan raya negeri itu perlu dilaksanakan berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.


“Ia berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh pembubaran DUN itu.

“Justeru, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut. Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya.

Ikmalrudin berkata, SPR juga telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Melaka, berhubung dengan pembubaran DUN Melaka penggal yang keempat belas pada hari ini sebagaimana termaktub bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.


Terdahulu, DUN Melaka dibubarkan dan pilihan raya negeri bakal diadakan selepas Ketua Menteri Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu.

Pembubaran itu diumumkan Yang Dipertua DUN Ab Rauf Yusoh, sehari selepas empat ADUN Melaka termasuk bekas Ketua Menteri Idris Haron menarik balik sokongan terhadap Sulaiman.

Ia dipersetujui oleh Yang Dipertua Negeri, Mohd Ali Rustam, yang dilihat sebagai jalan keluar untuk mengatasi kemelut politik berkenaan dan membentuk kerajaan negeri baharu menerusi pilihan raya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram