KUALA TERENGGANU 7 Nov – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini akan menjadi kayu ukur penentu hala tuju parti PAS bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata PRN Melaka yang dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PN, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) itu, amat penting dalam menentukan perancangan dan masa depan PAS bersama perikatan berkenaan.
“PAS akan perkasakan kekuatan parti bersama-sama dengan PN sebab PAS adalah komponen dalam gagasan itu.
“Keputusan PRN Melaka akan jadi sebahagian perancangan PAS pada masa depan dan saya fikir ramai yang nak tengok keputusan PRN Melaka sebagai petunjuk (kerjasama pada PRU-15),” katanya pada sidang media selepas Muktamar Tahunan Ke-67 di sini, hari ini.
Sementara itu Tuan Ibrahim berkata semua calon PAS yang bertanding pada PRN Melaka 20 Nov ini perlu mengambil sumpah baiah seperti mana calon-calon PAS pada pilihan raya terdahulu.
Tuan Ibrahim berkata ia bagi memastikan semua calonnya tidak mengkhianati parti selepas menang pilihan raya atas sokongan dan tiket PAS.
“PAS konsisten menentang agenda lompat parti jika menang, tidak seperti PH yang kononnya menentang agenda itu tetapi tiba-tiba di Melaka mereka terima orang yang lompat parti.
“Yang timbulkan masalah di Melaka sekarang ialah mereka yang lompat parti, jadi rakyat Melaka bolehlah menilai orang yang buat masalah pada rakyat tiba-tiba diterima jadi calon dalam pilihan raya,” katanya yang bertegas akan tetap meneruskan kerjasama dengan UMNO menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN).
ARTIKEL BERKAITAN:
- Tak sampai 24 jam umum calon, 9 PDM BN di Bemban tutup
- #PRNMelaka: Isu protes selesai, 38 PDM BN Jasin berjalan seperti biasa – Abdul Kalam
- TERKINI: Senarai calon yang bertanding #PRNMelaka
- PH, PN terbukti masih amalkan politik fitnah, 'saya boleh cakap Melayu' – Hui Ying
- Sulaiman kembali jadi CM jika BN menang, kata Najib
- Hina rakyat Melaka lahabau, wakil rakyat DAP mohon maaf
Join our Telegram Channel