Polis siasat Teresa Kok ugut Polis dalam ceramah #PRNJohor



PETALING JAYA: Polis Daerah Batu Pahat menjalankan siasatan susulan rakaman video tular seorang penceramah daripada sebuah parti politik yang mengeluarkan perkataan tidak sewajarnya ketika berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Ismail Dollah berkata, dalam rakaman video itu, penceramah berkenaan meminta polis melanjutkan tempoh masa ceramah ketika berkempen, namun tidak dibenarkan.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, dalam rakaman itu, penceramah telah mengeluarkan ungkapan ‘Bila kita jadi kerajaan balik, korang tahulah nanti’ yang disebut dalam bahasa Cina.


“Siasatan awal mendapati, ceramah berkenaan diadakan pada malam kelmarin di bilik gerakan sebuah parti politik di Yong Peng, Batu Pahat.

“Kejadian berlaku jam 8.30 malam dan berakhir jam 10 malam,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, bagaimanapun ceramah berkenaan mempunyai permit polis dan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dikesan ketika pemantauan dilakukan.

Katanya, polis menerima laporan daripada orang awam berkaitan rakaman video berkenaan dan kini sedang menjalankan siasatan lanjut.


“Polis menyeru semua parti politik bertanding supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau berkata, parti politik wajib mematuhi arahan pegawai penguasa yang bertugas bagi sama-sama membendung penularan wabak Covid-19. – FMT



Please subscribe


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram