Dijel 15 tahun rogol isteri rakan sarat mengandung



MELAKA – Perbuatan keji seorang lelaki sanggup merogol isteri rakannya sendiri yang sarat mengandung berbalas selepas dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 25 tahun selepas lelaki itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Pemuda itu didapati merogol wanita berusia 26 tahun di sebuah rumah di Merlimau, Jasin pada pukul 4.20 pagi, 21 Januari 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, mangsa sedang tidur sebelum didatangi tertuduh yang menutup muka menggunakan kain putih.

Lelaki itu kemudian mengugut mangsa menggunakan pisau dan memaksanya menanggalkan pakaian sebelum merogolnya.

Ketika kejadian, wanita tersebut mengandung tujuh bulan dan tinggal seorang diri, manakala suaminya menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah. Hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 24 Januari lalu. – Kosmo


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram