Isteri dipukul dengan topi keledar sebab tolak seks



MELAKA: Tindakan kejam seorang buruh memukul dan menendang isterinya hanya kerana mangsa enggan melakukan hubungan seks berbalas, menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. 

Hukuman terhadap V. Murugan, 30, itu dijatuhkan di mahkamah berasingan oleh Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin dan Hakim Nariman Badruddin atas empat pertuduhan. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan sengaja mencederakan isterinya, A. M. Saraswathi, 24, dengan cara memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar. 

Tertuduh juga telah mencederakan anak lelakinya berusia enam tahun dengan cara memukul bahu kanan mangsa menggunakan wayar USB telefon.


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu. 

Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh didapati telah menakutkan isterinya secara jenayah berbentuk ugutan dengan cara meletakkan sebilah parang di leher mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. 

Ketiga-tiga tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 6 petang di sebuah rumah di Ujong Pasir dalam daerah Melaka Tengah pada 9 Oktober 2021. 

Dalam pertuduhan keempat, tertuduh yang bekerja di kedai besi buruk didapati sekali lagi telah mencederakan isterinya dengan cara menendang mangsa di bahagian dada sehingga wanita itu terjatuh kira-kira pukul 10 pagi, pada keesokan harinya. 


Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika tertuduh dalam keadaan mabuk dan bertindak mengugut serta memukul isterinya selepas berang mangsa enggan melakukan hubungan seks dengannya. 

Anak tertuduh yang melihat kejadian telah menjerit sebelum turut dipukul menggunakan wayar USB telefon. Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara lima tahun dan enam bulan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 10 Oktober tahun lalu. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan N. Sivashangari. – Utusan


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram