Najib akan ke mahkamah esok



KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat kemunculan pertamanya di Kompleks Mahkamah di sini esok selepas dua hari menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Kemunculan Najib adalah bagi menghadiri perbicaraan kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Selain esok, pada Jumaat ini, Najib sekali lagi akan dibawa daripada penjara ke Mahkamah Tinggi di sini bagi menghadiri perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB bagi mengelakkan dirinya dikenakan tindakan undang-undang.


Turut didakwa bersama dengan Najib bagi pertuduhan itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Selain kes dana SRC International Sdn. Bhd. dan dana 1MDB serta kes membabitkan laporan audit 1MDB, Najib masih mempunyai dua lagi kes yang masih belum berjalan.

Kes tersebut ialah kes pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dan kes membabitkan Najib dan bekas Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang didakwa atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion.

Semalam Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram