Penyokong Najib serah memo mohon pengampunan Agong



Hampir 300 penyokong tegar Najib Abdul Razak berkumpul di hadapan Istana Negara di Kuala lumpur hari ini memohon Yang di Pertuan Agong supaya memberikan pengampunan di-raja kepada bekas perdana menteri itu.

Ia susulan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskannya bersalah dalam kes rasuah RM42 juta melibatkan dana SRC International.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan perlu membayar denda RM210 juta bermula semalam setelah dihantar ke Penjara Kajang.

Majlis penyerahan memorandum itu dianjurkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia.


Presidennya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata memorandum hari ini selain memohon pengampunan diraja mempunyai beberapa permintaan lain.

"Permohonan pertama adalah pengampunan diraja serta merta kepada Najib.

"Keduanya kami mohon Peguam Negara Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan Pengarah Pesuruhjaya Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) untuk menghadap baginda menyemai bukti kes konflik berkepentingan membabitkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali," katanya.

Menurutnya, dia adalah pengadu (whistle blower) berhubung Nazlan kepada sebuah portal yang mendakwa terdapat konflik kepentingan dalam kes Najib.

"Saya nak tahu apa hasil siasatan SPRM, yang mana SPRM pada 21 Mei keluarkan kenyataan bahawa kertas siasatan diserahkan kepada peguam negara berkaitan kes hakim Mohd Nazlan.



"Tapi, peguam negara baru baru ini berkata hasil siasatan SPRM itu tidak sampai kepada tangan beliau. Adakah konflik kepentingan ini wujud ataupun tidak. Itu yang kami ingin tahu dan perkara ini. Saya rasa tidak perlukan campur tangan politik dalam kes ini.

"Ketua pengarah SPRM dan peguam negara harus menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memberi penjelasan. Jika tidak rakyat akan keliru. Ini satu penganiayaan yang dilakukan terhadap Najib," katanya.

Untuk rekod, pada 21 April lepas, Mohd Nazlan membuat laporan polis berhubung artikel yang disiarkan oleh sebuah portal berita bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang mendakwa bahawa beliau telah disiasat berkaitan wang yang dipindahkan ke akaun banknya.

Mohd Nazlan telah menafikan dakwaan itu serta niat jahat untuk menjejaskan kredibilitinya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan mengganggu sistem keadilan selain institusi kehakiman melalui artikel tersebut.

Sementara itu, Syed Muhammad turut mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya menyegerakan proses pengampunan diraja.


"Pengampunan diraja terhadap Najib perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia iaitu PM harus memberi satu surat kepada baginda untuk pengampunan Najib.

"Pergerakan itu harus dilakukan daripada perdana menteri dan jangan letakkan batu di atas Yang di-Pertuan Agong. Kemungkinan besar pada Hari Merdeka ini mungkin kami memohon baginda untuk mengampuni segala kesalahan Najib.

Dia juga mendesak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk menarik sokongan kepada kerajaan pusat hari ini.

"Saya mohon presiden Umno tarik sokongan kepada kerajaan campuran semasa supaya ada pembubaran parlimen.

"Kami percaya kepada PM sehingga hari ini tapi jika ia (pengampunan diraja) tak berlaku, saya anggap kerajaan ini kerajaan zalim.



"Jika ini adalah kerajaan Muhyiddin tidak mengapa, tapi ini kerajaan BN, dan orang yang kamu aniaya pemimpin BN yang banyak berjasa kepada negara. Saya rasa kalau beliau (Najib) tak ada Umno akan hancur," katanya.

Terdahulu, Syed berkata bahawa mereka tidak akan bersurai selagi Ismail Sabri dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi datang ke Istana Negara pada kadar segera.

"Kami nak Ismail Sabri dan Zahid datang ke sini sekarang. Kami tidak akan berganjak walaupun seinci sehingga mereka ke sini," katanya.

Namun, bagaimanapun, mereka akhirnya bersetuju bersurai secara aman selepas pihak polis mengarahkan sedemikian.



Please subscribe







Join our Telegram Channel
Telegram