Tiada PRK Parlimen Pekan



Kuala Lumpur: Kerajaan tidak akan melaksanakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pekan sekiranya sah Datuk Seri Najib Razak hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata status bekas Perdana Menteri itu sebagai Ahli Parlimen Pekan ditentukan dalam tempoh 14 hari selepas hukuman dijatuhkan.

Sekiranya Najib hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan, katanya, tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan PRK di Parlimen itu kerana kekosongan berkenaan berlaku kurang dua tahun sebelum Parlimen perlu dibubarkan.

"Pengosongan kerusi tidak serta-merta, tetapi selepas 14 hari. Dalam tempoh itu, Najib masih boleh membuat permohonan untuk mendapatkan pengampunan diraja.


"Selepas tempoh itu, jika Parlimen dimaklumkan bahawa Najib hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, maka kerusinya akan dikosongkan.

"Namun, mengikut Perlembagaan juga, tiada keperluan untuk PRK dilaksanakan kerana tempoh kekosongan kurang dua tahun daripada pembubaran Parlimen," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan terhadap bekas Presiden UMNO itu dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.


Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat perlu diisi menerusi pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan luar jangka itu berlaku.

Bagaimanapun, jika kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat itu berlaku dalam tempoh dua tahun dari tarikh Parlimen terbubar, kekosongan itu tidak boleh diisi, melainkan bilangan parti yang membentuk majoriti di Dewan Rakyat terjejas akibat kekosongan berkenaan.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi memaklumkan sekiranya tiada sebarang proses lanjut daripada Najib, sama ada semakan atau permohonan pengampunan diraja, bekas Perdana Menteri itu juga secara rasmi tidak layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Jika tiada pengampunan, ertinya beliau akan berada dalam penjara. Sebagai individu yang didapati bersalah oleh mahkamah, beliau secara automatik tidak lagi layak bertanding dalam pilihan raya," katanya. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram