Muhyiddin: Jangan main-main, saya bukan bacul



‘’Jangan main-main dengan saya tuduh tak tentu arah.Saya ada maruah, saya ada harga diri, saya bukan bacul.’’

Itulah kenyataan tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjelaskan kenapa baru sekarang beliau bertindak ‘menyerang’ pemimpin seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Dalam wawancara bersama Sinar Harian, bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika memegang jawatan tersebut, beliau lebih memahami kehendak dan keutamaan rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19 dan atas sebab itu, tidak banyak kenyataan politik dikeluarkan beliau ketika itu.

‘’Saya tidak bodoh. Saya sudah lebih 40 tahun berkhidmat dalam politik dan kerajaan serta memahami pada saat itu (krisis pandemik), keutamaan perlu diberikan kepada rakyat yang sedang menderita. Jadi inilah apa yang saya buat, saya tumpu untuk bekerja pada waktu itu tapi saya tunggu (untuk serang balas).


‘’Sekarang saya tidak ada apa-apa jawatan. Dalam Majlis Pemulihan Negara (PN) pun saya hanya seorang pengerusi yang beri nasihat dan mengesyorkan cadangan kepada kerajaan. Jadi jangan main-main dengan saya, tuduh tidak tentu arah. Saya ada maruah, saya ada harga diri, saya bukan bacul,’’ tegasnya.

Muhyiddin berkata, walaupun tidak selesa namun beliau terpaksa menjawab setiap dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya kerana tidak boleh lagi berdiam diri apabila ada pihak menuduhnya sebagai pengkhianat dan melakukan perkara tidak betul.

‘’Saya kata ini tak boleh jadi, kerana saya ada maruah dan harga diri. Saya tidak buat macam Najib. Beliau sudah melakukan banyak kesalahan tetapi cara Najib cakap itu macam beliau tidak buat apa-apa kesalahan.

‘’Sebab itu saya ambil kesempatan untuk menjelaskan sekarang. Bukan saya kata sengaja hendak berbuat begitu tetapi masanya sudah tiba untuk respons kepada tuduhan-tuduhan, fitnah dan macam-macam perkara palsu terhadap saya. Saya bukan begitu. Ramai orang tahu saya tidak rasuah, tetapi kamu (Najib) rasuah,’’ tegas beliau lagi.

Bagaimanapun Muhyiddin mengakui beliau kadang kala terfikir, tindakan memberi reaksi balas terhadap setiap dakwaan Najib dan Ahmad Zahid hanya membazirkan masa.


Ujarnya lagi, tindakan sebegitu mungkin sekadar menarik minta pihak tertentu termasuk media untuk melihat beliau terus ‘bergaduh’ dengan segelintir pemimpin ‘kluster mahkamah’.

‘’Saya tidak fikir tindakan saya itu luar biasa.Kalau ada tuduhan dan fitnah terhadap saya yang tidak berasas, saya kena jelaskan. Itu yang saya buat sekarang,’’ katanya.

Mengimbau kembali cabaran ketika menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin berkata, beliau kerap menghadap Yang di-Pertuan Agong dan meluahkan rasa tidak selesa dipilih tanpa menerima mandat rakyat.

‘’Bagaimanapun Seri Paduk menjelaskan keadaan ketika itu tidak mengizinkan untuk pilihan raya (umum) diadakan kerana masalah Covid-19 dan saya harus bertanggugjawab membela nasib rakyat terkesan,’’ katanya.

Muhyiddin menjelaskan, proses pembentukan Kerajaan PN melalui sokongan majoriti ahli Parlimen terpaksa dilakukann disebabkan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad meletakkan jawatan secara mengejut.


‘’Untuk menyelamatkan negara daripada krisis (politik dan pandemik Covid-19), kita (UMNO-Pas-Bersatu) bersetuju membentuk kerajaan. Sewajarnya pentadbiran Kerajaan PN terus berjalan dan tidak terganggu.

‘’Malangnya kerana saya tidak tunduk kepada tuntutan mereka (sebilangan pemimpin kluster mahkamah), saya dijatuhkan. Ini saya dah sebut berbulan-bulan,’’ katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mendedahkan beliau tidak boleh berkompromi untuk campur tangan dalam kes pendakwaan ke atas Ahmad Zahid dan Najib Tun Razak walaupun berasa ‘kasihan dan simpati’ kerana jika beliau campur tangan akhirnya rakyat akan tahu Kerajaan PN ada ‘buat kerja di belakang’ dalam mengetepikan kes mereka. – UtusanTV


ARTIKEL BERKAITAN:

 

Join our Telegram Channel
Telegram