Bukan semua kena pakai serban macam Hadi, Shahrir jawab tuduhan Johor kurang kesedaran politik Islam



PETALING JAYA: Dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, kurangnya kesedaran politik Islam di Johor diselar Shahrir Samad, dengan mengatakan ia sekadar mahu menyembunyikan kelemahan parti itu di negeri berkenaan.

Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru berkata, negeri itu mempunyai pendidikan Islam secara formal membabitkan sistem sekolah agama berjalan seiring pendidikan kebangsaan.


“PAS di Johor tidak begitu kuat. Saya tidak fikir dia mempunyai (kekuatan) dan rakyat Johor tak kenal pun calon PAS,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau mendakwa PAS cuba lari daripada persoalan sebenar iaitu menyembunyikan kelemahan parti itu di Johor.

“Dah lama orang PAS tuduh kita Johor tiada kesedaran politik Islam. Dahulu, pemimpin PAS cakap kita terlalu materialistik. Tetapi, Johor satu-satunya yang ada pendidikan Islam secara formal iaitu sistem sekolah agama yang berjalan seiring dengan pendidikan kebangsaan.

“Jadi, sudah lengkap. Maknanya, dari segi soal agama bukan semua kena pakai serban. Bukan mesti semua kena ada sekolah tahfiz atau sekolah pondok. Pasal sistem pendidikan agama kita adalah satu sistem pendidikan yang selari dengan pendidikan kebangsaan,” katanya.


Hari ini, Hadi dipetik sebagai berkata, kesedaran politik Islam di negeri itu kurang berbanding di Kelantan dan Terengganu, di mana parti itu bertapak kukuh.

“Jumlah orang Melayu di Johor begitu besar. Memang harapan Dr Burhanuddin al-Helmy (bekas Yang Dipertua PAS) kita berjaya menang di Johor (PRU 1959). Cuma ramalan pimpinan kita pada masa itu tidak berlaku, walaupun Johor ketika itu banyak sekolah agama, dia belajar fardu ain, sembahyang, puasa, zakat dan haji.

“Jadi masalahnya kesedaran politik Islam kurang di Johor. Lain dengan di Kelantan dan Terengganu kerana di situ banyak guru pondok yang terlibat dengan gerakan Hizbul Muslimin yang menentang penjajah Inggeris.” – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram