Muhyiddin perlu jawab soalan, jangan menyorok belakang Azmin, kata Najib



PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Najib Razak mengecam Muhyiddin Yassin kerana gagal menjawab soalan yang dibangkitkan berkaitan FELDA

Najib berkata, Presiden Bersatu itu tidak berani menjawab soalan yang dibangkitkan sebaliknya hanya berselindung di belakang Ketua Penerangan Bersatu, Azmin Ali.

“Tak berani debat tak apa. Nak sorok kat belakang Azmin pun Okay. Tapi jawab soalan-soalan bocor saya sahaja. Jangan terus tipu peneroka dan tipu rakyat,” kata Najib di Facebooknya hari ini.


Kenyataan itu menyusul selepas Muhyiddin menolak cabarannya untuk berdebat mengenai isu FELDA.

Muhyiddin hari ini berkata, Najib tidak akan dapat menjawab soalan-soalan itu jika mereka berdebat berdasarkan data-data dan fakta-fakta kejayaan kerajaan PN untuk atasi masalah FELDA.

Sabtu lalu, Azmin mencabar Najib berdebat dengannya dan turut mendakwa, kepimpinan bekas Perdana Menteri itu telah menghancurkan peneroka dan masa depan FELDA

Dalam kenyataan hari ini, Najib berkata DNA penipuan PH masih kuat menyebabkan kedua-dua mereka tidak cukup berani untuk menjawab soalan.

Ahli Parlimen Pekan itu kemudiannya mengulangi soalan untuk “kali ketiga sejak minggu ini”, antaranya di mana kawasan sawit baharu dengan harga RM2,800 setiap ekar ataupun 6.5 sen setiap kaki persegi memandangkan syarikat Eagle High mempunyai jumlah keluasan tanah sebanyak 320,000 hektar.


Najib turut mempersoalkan mengapa pentadbiran PN sebelum ini tidak memberi peruntukan kepada FELDA untuk memansuhkan hutangnya sebaliknya memaksa meminjam hutang baharu sebanyak RM9.9 bilion pada 2020.

“Dan jika ia benar-benar pemansuhan atau pemaafan hutang, kenapa pula peneroka perlu menandatangani perjanjian dengan perlu menerima syarat samada untuk ladang mereka diuruskan Felda atau perlu menjual hasil kita hanya kepada FELDA,” soal Najib.

Isu berkaitan FELDA menjadi topik hangat menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor 12 Mac ini. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:

 

Join our Telegram Channel
Telegram