Zahid hantar surat akuan ketiga pada Agong, mustahil Mahiaddin masih ada majoriti



PETALING JAYA: Umno telah mengemukakan lebih banyak akuan berkanun (SD) Ahli Parlimen parti itu kepada Yang di-Pertuan Agong, selepas memaklumkan penarikan balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, kata sumber parti itu.

Sumber memberitahu FMT, ini lambakan ketiga SD yang dihantar kepada Agong dan menguatkan pendirian Umno bahawa Muhyiddin sudah kehilangan majoriti sokongan di Dewan Rakyat.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu telah mengemukakan surat akuan tambahan Ahli Parlimennya, memaklumkan penarikan sokongan mereka kepada Muhyiddin.


Selasa lalu, Zahid berkata, Umno mempunyai “angka mencukupi” Ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan menegaskan Ahli Parlimen Pagoh itu sudah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat dan harus berundur.

Muhyiddin bagaimanapun enggan meletak jawatan dan yakin masih mempunyai majoriti. Beliau berkata, satu usul percaya terhadapnya akan dibentangkan di Parlimen bulan depan untuk menentukan keabsahannya sebagi Perdana Menteri.

“Dengan tiga lambakan SD dihantar ke Istana negara, saya tidak tahu bagaimana Perdana Menteri boleh terus mendakwa mempunyai sokongan majoriti. Hakikat adalah sebaliknya,” kata sumber itu.

“Kalau Muhyiddin mempunyai majoriti sebagaimana yang didakwanya, beliau harus mengadakan sidang Parlimen sekarang dan menguji dakwaan beliau itu, bukannya menunggu sehingga September,” kata beliau.


Ahli Parlimen Maran diberi surat tunjuk sebab oleh parti

Dalam pada itu, Umno telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib, setelah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mengumumkan beliau akan terus menyokong pentadbiran Muhyiddin.

“Surat tunjuk sebab itu dihantar hari ini,” kata sumber itu.

Sebelum itu, Ismail dibidas oleh Umno Maran kerana membelakangkan pendirian parti yang mahu semua Ahli Parlimennya menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

Ketua Umno Bahagian Maran Shahaniza Shamsuddin berkata, setiap pemimpin parti harus mematuhi pendirian Umno pusat dan keputusan parti pada Perhimpuan Agung Umno yang lalu. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram