5 ADUN Umno rela dipecat, tetap sokong Hajiji



PETALING JAYA: Lima ADUN Umno Sabah yang enggan menjadi sebahagian daripada langkah menggulingkan Hajiji Noor sebagai ketua menteri berkata mereka rela dipecat kerana berpegang kepada prinsip.

Katanya, mereka akan menubuhkan parti baharu untuk menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Hajiji sebagai ketuanya, jika ditunjukkan “pintu keluar” oleh Umno Sabah.

Kelima-lima ADUN ialah Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Jasni Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Yusof Yacob (Sindumin) dan Arsad Bistari (Tempasuk).


Dalam temu bual dengan Sabah Daily Express, mereka berkata tidak sanggup menandatangani akuan berkanun menarik balik sokongan terhadap Hajiji dan mencadangkan Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai penggantinya.

“Tindakan itu tidak masuk akal, jadi kami enggan menandatanganinya,” kata mereka.

“Sebab itu ‘Langkah Sutera’ Khamis lalu gagal apabila kedua-dua Shafie dan Bung (Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin) tidak hadir ke sidang media kerana bimbang tidak mendapat sokongan untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

“Apabila ‘Langkah Sutera’ gagal, puak dengan Bung kemudian memutuskan untuk mencadangkan beliau sebagai calon ketua menteri dan bukan Shafie. Tetapi sekali lagi, kami tidak mahu mengambil bahagian dalam perkara itu.”


Langkah itu adalah untuk membawa Shafie berkuasa sebagai ketua menteri, dengan Bung sebagai timbalannya dan bekas menteri persekutuan Salleh Said Keruak sebagai menteri kewangan.

Jumaat lalu, Bung mengumumkan Umno Sabah menarik balik sokongannya terhadap Hajiji sebagai ketua menteri kerana melanggar syarat perjanjian politik antara mereka selepas pilihan raya negeri 2020.

Semalam, Hajiji berkata, beliau mendapat sokongan 44 ADUN termasuk lima daripada Umno yang menentang tindakan Bung untuk menggulingkan ketua menteri. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram