Shafie cuba singkirkan Hajiji sebelum 10 Jan – Sumber



Situasi politik di Sabah kembali bergolak di tengah-tengah spekulasi bahawa bekas ketua menteri Mohd Shafie Apdal berusaha menyingkirkan penggantinya Hajiji Noor.

Sumber Warisan dan Pakatan Harapan (PH) mendakwa kedua-dua pemimpin itu berusaha mendapatkan sokongan yang mencukupi untuk menerajui kerajaan negeri.

Shafie, yang merupakan presiden Warisan, dijangka melancarkan percubaan menjatuhkan Hajiji, pengerusi GRS, sebelum sidang khas dewan undangan negeri yang dijadualkan pada Selasa depan, yang boleh mengukuhkan kedudukannya.

Jika bekas ketua menteri itu gagal menggerakkan rancangan berkenaan sebelum 10 Jan, sumber yang rapat dengan situasi itu berkata puak Shafie mungkin mendesak undi tidak percaya terhadap Hajiji tetapi ia mesti diluluskan oleh speaker terlebih dahulu.


Sidang khas itu bagi membolehkan kerajaan Sabah membentangkan usul peralihan kuasa kawal selia bekalan gas ke negeri itu daripada kerajaan persekutuan.

Spekulasi rampasan kuasa semakin memuncak semalam apabila Warisan mengumumkan bahawa Shafie akan mengadakan sidang media, dengan jangkaan tinggi bahawa dia akan mendedahkan bilangan Adun yang menyokongnya.

Bagaimanapun, selepas menunggu selama dua jam, wartawan dimaklumkan bahawa sidang media itu dibatalkan.

Hajiji bergelut menunjukkan penguasaan


Sementara itu, sumber itu berkata Warisan, yang mempunyai 19 Adun, yakin Hajiji tidak mempunyai sokongan Adun yang mencukupi walaupun pelbagai pihak sudah menyatakan sokongan kepadanya.

Shafie atau Hajiji mesti mendapat sokongan sekurang-kurangnya 40 daripada 79 Adun untuk majoriti mudah.


Menurut sumber itu, Warisan percaya ia masih boleh mendapatkan sokongan 17 Adun Umno untuk membentuk kerajaan negeri walaupun mengakui sidang media semalam dibatalkan kerana wakil Umno enggan mengisytiharkan pendirian.

“Anda perlu tanya Hajiji berapa ramai (Adun) yang dia ada... Warisan tidak perlu memperoleh majoriti mudah sekiranya dewan undangan negeri tergantung.

“Situasinya sama seperti yang dihadapi Anwar Ibrahim selepas pilihan raya umum,” kata sumber itu, merujuk kepada pengerusi PH yang tidak memperoleh majoriti mudah di peringkat persekutuan.

Sumber itu menambah bahawa walaupun pertemuan Hajiji dengan parti-parti politik semalam bertujuan untuk menunjukkan sokongan terhadapnya, gambar-gambar perhimpunan di media sosial menunjukkan bahawa hanya 35 Adun yang hadir.

Memandangkan hanya tujuh daripada 17 Adun Umno yang hadir di kediaman ketua menteri, ini mungkin menunjukkan perpecahan dalam kalangan Adun Umno Sabah.

Malaysiakini telah menghubungi Umno dan GRS untuk mendapatkan butiran lanjut.


Satu lagi sumber daripada Warisan mendakwa PH mahu menjadi 'king maker' dan Anwar tidak sanggup melihat pertukaran kerajaan negeri.

PH: Shafie cuba menghalang pembelotan


Mengesahkan bahawa Warisan cuba memikat Adun PH, sumber daripada gabungan itu mendakwa Shafie mempercepatkan rampasan kuasa untuk mengelakkan pembelotan kepada kerajaan GRS-BN memandangkan negeri itu tidak meluluskan undang-undang antilompat parti.

Situasi politik di Sabah itu merupakan dilema bagi PH kerana kesannya boleh dirasai di Putrajaya.

Dalam satu kenyataan semalam, tujuh Adun PH di Sabah menjelaskan bahawa mereka tidak bersedia untuk membuat sebarang perubahan drastik.

PH dilihat akan cuba mengelak pilihan raya negeri dan memastikan enam ahli parlimen GRS terus menyokong Anwar sebagai perdana menteri.


Sebagai perbandingan, Warisan mempunyai tiga ahli parlimen, yang kesemuanya juga menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Tujuh Adun PH itu berkata mereka tidak akan menyokong kerajaan yang dibentuk melalui pintu belakang tetapi pada masa yang sama tidak menyebut sokongan mereka kepada pentadbiran Hajiji.

FMT melaporkan bahawa Hajiji akan merombak kabinetnya dan dijangka memecat Ketua Umno Sabah Bung Mokhtar, yang juga timbalan ketua menteri, bersama-sama dengan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Jafry Ariffin.

Hajiji dikatakan bercadang untuk memasukkan Adun PH dalam kabinetnya.

Mengulas perkara ini, salah satu sumber daripada PH memberitahu Malaysiakini bahawa gabungan itu terbuka untuk bekerjasama dengan Hajiji bagi memastikan kerajaan yang stabil.

Majlis presiden PH dijangka membincangkan isu ini semasa mesyuaratnya di Kuala Lumpur petang esok. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram