Hajiji dakwa dapat sokongan 44 Adun Sabah, cukup untuk kekal kuasa



Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor mendakwa menerima sokongan seramai 44 Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) untuk kekal menerajui kerajaan negeri.

Jumlah itu melebihi empat sokongan Adun yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Gambar yang dirakam di tangga kediaman rasminya menunjukkan Hajiji berdiri bersama-sama dengan Adun GRS, PH dan lima Adun Umno Sabah.


Lima Adun Umno itu ialah Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Yusuf Yacob (Sindumin), dan Mohd Arsad Bistari (Tempasuk). Kelima-lima mereka semalam membantah keputusan BN Sabah menarik balik sokongan terhadap Hajiji.

Hajiji dipetik Sinar Harian memaklumkan akuan bersumpah untuk menyokongnya telah dihantar kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin semalam.

"Kita mempunyai sokongan majoriti seramai 44 ADUN di Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini bermakna kerajaan yang ada ini, yang saya pimpin ini masih lagi utuh dan kuat dan akan terus mentadbir Sabah," katanya.

Sementara itu Shahelmy juga mengesahkan akuan bersumpah daripada lima Adun BN telah dihantar kepada Juhar.


Sabah memiliki 79 kerusi DUN termasuk 6 jawatan dilantik.

Episod politik di Sabah bermula pada Khamis lalu apabila Warisan - yang mempunyai 19 kerusi - merancang mengadakan sidang akhbar yang kemudiannya dibatalkan, di tengah-tengah spekulasi akan berlaku rampasan kuasa terhadap Hajiji.

Pada Jumaat, BN Sabah - yang mempunyai 17 kerusi DUN - menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Ini selepas Hajiji memecat Salleh Said Keruak sebagai pengerusi Qhazanah Sabah - dengan rancangan selanjutnya untuk merombak kabinet kerajaan negeri.


Hajiji hari ini berkata rombakan kabinet Sabah akan dilakukan tidak lama lagi.

BN, GRS, dan Warisan merupakan parti dalam kerajaan persekutuan dan menandatangani memorandum persefahaman untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata dia mempunyai formula untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah - yang akan dibincangkannya dengan Hajiji dan Anwar sebaik perdana menteri pulang dari lawatannya ke Jakarta esok.

Ia dilihat sebagai usaha membendung kesan daripada keputusan Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin yang menarik balik sokongan terhadap kerajaan pimpinan GRS. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram