Bung Moktar digugur daripada jawatan TKM Sabah



KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin digugurkan daripada jawatan timbalan ketua menteri selepas rombakan kabinet dilakukan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau sebelum ini merupakan antara tiga timbalan ketua menteri yang juga menteri kerja raya.

Bung digantikan oleh Shahelmey Yahya, ADUN Barisan Nasional (BN) Tanjung Keramat, yang akan menyandang dua portfolio itu.


Dua lagi ADUN BN yang sebelum ini memegang jawatan menteri turut digugurkan iaitu ADUN Sukau Jafry Ariffin dan ADUN Karambunai Yakub Khan. 

Jafry sebelum ini memegang jawatan menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar manakala Yakub sebagai menteri sains, teknologi dan inovasi.

Shahelmey Yahya yang juga Ahli Parlimen Putatan antara lima ADUN Umno yang mengekalkan sokongan mereka kepada Hajiji sebagai ketua menteri selepas Bung mengumumkan parti itu menarik balik sokongan terhadap Hajiji.


Dalam kenyataan hari ini, Hajiji berkata rombakan kabinet adalah sesuatu yang perlu dan bertujuan mengukuhkan kerajaan negeri sekarang.

Menyedari keperluan untuk membentuk satu pentadbiran inklusif, saya telah memasukkan ADUN dari Pakatan Harapan ke dalam Jemaah Menteri, sebagai tambahan di samping wakil dari BN dan GRS,” katanya.

“Adalah penting bagi kerajaan negeri di bawah pimpinan saya dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu, dengan berkongsi aspirasi yang sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati. – FMT



ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram