‘Kalau kita dibuang dari UMNO pun kita terima’, 5 ADUN ulang pendirian sokong Hajiji



KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya menegaskan bahawa beliau kini masih lagi ahli UMNO.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu berkata, sehingga kini beliau belum menerima sebarang surat mengenai penggugurannya sebagai ahli UMNO.

"Apa yang saya boleh komen setakat ini, saya masih ahli UMNO, belum ada terima surat.

"Sekarang bukan masa untuk berpolitik, tetapi untuk berkhidmat untuk rakyat. Kita boleh berpolitik lagi bila masa mengundi. Kita tunggu lagilah dua tahun setengah," katanya kepada pemberita selepas melawat Loji Rawatan Air Moyog, di sini, pada Isnin.


Shahelmey berkata demikian ketika ditanya mengenai UMNO yang sebulat suara meluluskan usul pindaan perlembagaan mengugurkan keahlian secara automatik kepada mana-mana ADUN atau ahli Parlimen menyertai pakatan lain yang UMNO tiada dalam pakatan berkenaan pada Jumaat lalu.

Sementara itu, ADUN Sugut Datuk James Ratib turut mengambil pendirian yang sama untuk terus bekerja demi rakyat.

"Sekarang ini kita belum mendapat apa-apa tindakan atau sebagainya, jadi kita tunggu sajalah. Macam Datuk Bung (Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin) kata, 'game masih on', jadi kita tunggu sajalah apa yang dimaksudkannya.

"Yang penting kita masih berkhidmat kepada rakyat seperti biasa. Politik ialah politik, rakyat ialah rakyat dan kita akan jalankan tugas kita sebagai wakil rakyat dan juga menteri untuk bangunkan rakyat Sabah yang masih jauh ketinggalan," katanya.


Katanya lagi, pihaknya termasuk empat lagi ADUN lain daripada BN-UMNO bersedia untuk menerima tindakan daripada parti.

"Apa saja tindakan yang mereka bagi kepada kami terutama yang lima orang ini, kami terima seadanya.

"Itu saja tetapi saya fikir rakyat di atas boleh menilai mana yang baik, mana yang buruk dan rakyat sendiri juga akan menilai, Insya-ALLAH, pilihan raya akan datang.

"Kalau kita dibuang dari UMNO pun kita terima, yang penting kita bersama-sama dengan rakyat untuk memajukan Sabah," katanya.


Sebelum itu, Shahelmey dan James antara lima ADUN BN-UMNO yang tidak menyokong tindakan UMNO Sabah menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Susulan daripada tindakan UMNO itu menyebabkan berlakunya kemelut politik di Sabah dan seterusnya membawa kepada rombakan kabinet di mana Bung Moktar digugurkan daripada jawatannya sebagai Timbalan Ketua Menteri serta Menteri Kerja Raya dan Shahelmey kemudian dilantik bagi kedua-dua jawatan berkenaan.

James pula memegang portfolio sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bagi menggantikan tempat Shahelmey.

Tiga lagi ADUN lain ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk). – Sinar


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram