Bung Moktar, Adun BN dipindah ke blok pembangkang



Tempat duduk Pengerusi BN Sabah merangkap Adun Lamag, Bung Moktar Radin berpindah ke blok pembangkang pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Selain timbalan ketua menteri Sabah itu, tempat duduk beberapa Adun turut berubah, berikutan perkembangan semasa politik di Sabah, ketika ini.

Ini termasuk kerusi Adun BN yang sebelum ini menyandang jawatan menteri dalam kabinet negeri, iaitu Adun Karambunai, Yakub Khan dan Adun Sukau, Jafry Ariffin. Mereka juga kini berpindah ke blok pembangkang.

Bagaimanapun, kedudukan tempat duduk lima Adun BN Sabah yang secara terbuka menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor kekal tidak berubah.


Malah, dua dari lima mereka iaitu Adun Tanjung Keramat, Shahelmy Yahya dan Adun Sindumin, Yusof Yacob dilaporkan hadir pada persidangan hari ini.

Persidangan hari ini menyaksikan dua rang undang-undang berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas daripada Persekutuan kepada Sabah dan penubuhan suruhanjaya tenaga diluluskan tanpa sebarang insiden.

Walaupun masih belum ada pengumuman rasmi daripada Hajiji, penyusunan semula kerusi Bung Moktar memberi bayangan bahawa dia akan dipecat daripada menjadi timbalan ketua menteri.

Bagi wakil Pakatan Harapan pula, kerusi mereka dipindahkan ke barisan penyokong kerajaan.

Kedua-dua Bung dan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata mereka menyokong cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk pembentukan kerajaan perpaduan di Sabah.


Sebelum itu, Bung Moktar dalam satu kenyataan berkata sebahagian besar Adun BN Sabah tidak hadir pada sidang khas DUN hari ini kerana mereka akan menghadiri menghadiri Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur.

Jumaat lalu, BN Sabah mengumumkan bahawa mereka menarik balik sokongan kepada Hajiji sebagai ketua menteri.

Bagaimanapun, tindakan itu gagal menumbangkan Hajiji sebagai ketua menteri kerana lima daripada 18 ahli parlimen BN Sabah dan tujuh Adun Pakatan Harapan memilih untuk kekal bersamanya.

Setakat malam tadi, Hajiji dikatakan masih menikmati sokongan 44 daripada 79 Adun. – Mkini



ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram