UMNO di Melaka masih ada majoriti



ALOR GAJAH: Kerajaan negeri Melaka masih mempunyai majoriti, jika dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu menarik diri daripada menyokong kerajaan, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Beliau berkata, setakat ini, dua ADUN tersebut iaitu Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) belum menyatakan apa-apa pendirian, berhubung keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kedudukan negeri Melaka masih berada dalam keadaan yang sama seperti hari ini. Kita tidak berubah kerana tidak ada satu pun keputusan oleh mana-mana ADUN yang bergabung dengan kita untuk menarik sokongan kepada kerajaan negeri.


“Seandainya dua ADUN daripada Bersatu ini mengambil keputusan menarik diri daripada menyokong kerajaan yang diterajui oleh UMNO, kita masih mempunyai majoriti untuk terus menguruskan kerajaan negeri seperti biasa.

“Terserah kepada mereka (dua ADUN Bersatu) untuk buat keputusan kerana mereka mewakili parti mereka. ADUN UMNO berada dalam keadaan yang baik dan menyokong keputusan parti,” katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Kampung Pulau di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan MT UMNO yang berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setakat ini, kerajaan negeri Melaka terdiri daripada UMNO mempunyai 14 kerusi DUN, diikuti oleh Bersatu (2) dan Bebas (1).

Pakatan Harapan (PH) pula dengan 11 kerusi DUN.


Dalam pada itu, Ab. Rauf yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata, pihaknya menyokong penuh keputusan yang dibuat MT, selain meminta semua menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada UMNO menarik diri daripada semua jawatan yang disandang.

Tambahnya, keputusan itu adalah selaras dengan kehendak ahli akar umbi seperti diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, berdasarkan peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Kelmarin keputusan bersama telah dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan parti dan perhubungan UMNO negeri menyokong penuh pendirian yang tidak berbelah bagi dalam menangani isu politik pada hari ini,” tegasnya. – Utusan


ARTIKEL BERKAITAN:

 

Join our Telegram Channel
Telegram