HKL beri ubat generik kepada Najib – KJ



PUTRAJAYA – Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah memberi kandungan formula ubat yang sama kepada Datuk Seri Najib Razak tetapi ubat tersebut adalah ubat generik.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan, tidak timbul isu ubat Najib ditukar seperti yang didakwa oleh ahli keluarga bekas Perdana Menteri itu.

“Isu tukar ubat itu tidak menggambarkan situasi yang berlaku kepada Najib.


“Ubat darah tinggi beliau diberikan HKL dalam bentuk generik tapi formula kandungan adalah sama seperti yang diambil Najib sebelum ini dari hospital swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book of Record dan Pelancaran Laporan Record Breaking Covid-19 Vaccination di kementeriannya, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas lanjut mengenai kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam mengesahkan ubat yang diberikan kepada Najib semasa menerima rawatan di HKL adalah jenis sama dan dalam senarai ubatan kementerian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu juga berada dalam keadaan sihat sebelum dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan pada 9 September lalu.


Mengulas lanjut, Khairy turut mengesahkan Najib telah dimasukkan semula ke HKL hari ini untuk menjalankan pemeriksaan ujian tambahan dan terperinci.

Menurut beliau, Najib akan berada di hospital sehingga laporan pemeriksaan lengkap dikeluarkan, untuk diserahkan kepada ahli keluarga dan mahkamah agar tidak menjadi pertikaian lagi.

“Ujian pemeriksaan ini dibuat walaupun Najib disahkan doktor berada dalam keadaan sihat ketika dibenarkan keluar dari HKL.

“Ini kerana KKM memberi jaminan akan memberi rawatan terbaik kepada semua banduan di negara ini termasuk Najib,” katanya. – MG




ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram