Najib mungkin dipindah ke IJN



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak yang dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak semalam selepas mengalami masalah tekanan darah, berkemungkinan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini yang sepatutnya mendengar perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Terdahulu, Muhammad Shafee memberitahu Mahkamah Tinggi, keadaan tekanan darah tinggi bekas Perdana Menteri itu dilaporkan tidak menentu dengan puncanya tidak diketahui.

Menurut Muhammad Shafee, Najib akan menjalani beberapa ujian kesihatan yang akan mengambil masa beberapa hari bagi menentukan punca keadaannya dan mungkin dirujuk ke IJN.


Beliau bagaimanapun tidak boleh mendapat arahan lanjut daripada Ahli Parlimen Pekan itu kerana peguam tidak dibenarkan melawat beliau di wad HKL.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapi Najib hari ini ditangguhkan.

Perkara itu tidak mendapat bantahan daripada pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan prosiding kepada petang esok untuk mendapatkan perkembangan lanjut mengenai keadaan Najib.

Pada perbicaraan semalam, Timbalan Pemdakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan mahkamah beliau diberitahu oleh Jabatan Penjara, keadaan Najib agak teruk selepas menukar ubat darah tingginya dan perlu dirujuk ke Hospital Kajang.

Najib, 69, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.


Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua tuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – Bharian




ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram