Najib boleh guna ubat sendiri jika tak mahu ubat KKM



KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak boleh menggunakan ubat darah tingginya sendiri jika tidak mahu menggunakan ubat yang dibekalkan Kementerian Kesihatan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata beliau sudah memeriksa prosedur Jabatan Penjara dan perkara tersebut dibenarkan.

“Dalam prosedur penjara, sekiranya banduan sanggup membeli bekalan ubat sendiri dan tidak mahu menerima ubat yang dibekalkan KKM, saya difahamkan ia boleh dibenarkan dan tidak ada masalah.


“Saya telah memaklumkan kepada keluarga sekiranya mereka nak bekalkan ubat jenama itu kepada Najib, tidak jadi masalah,” katanya dalam sidang media di Hospital Pantai Kuala Lumpur.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Zaid Ibrahim yang menggesa KKM memberikan kepada Najib ubat yang selalu digunakan untuk rawatan penyakit darah tingginya.

Zaid turut berharap Khairy memastikan Najib diberi ubatan sesuai dengan penyakit Ahli Parlimen Pekan yang ketika ini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.


Sementara itu, Khairy berkata, Najib telah membawa ubatnya sendiri ke penjara.

Justeru, Khairy berkata, tidak timbul isu KKM menafikan hak Najib kerana mengikut prosedur KKM, jika seseorang pesakit keluar dari hospital sudah menjadi prosedur untuk kementerian itu membekalkan ubat kepada pesakit.

“Di HKL bekalkan benda (ubat) yang sama, kalau di penjara guna ubat itu. Itu yang ada pada HKL,” katanya. – FMT




ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram