Keadaan Najib agak teruk, terpaksa dikejarkan ke hospital jam 2 petang



Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi dimaklumkan bahawa Najib Razak perlu dihantar ke hospital pada pada jam 2 petang ini kerana keadaan kesihatannya dilaporkan agak teruk.

Timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram memaklumkan kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bahawa perbicaraan penyelewengan dana RM2.28 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib hari ini terpaksa ditangguhkan awal kerana keadaan kesihatan bekas perdana menteri itu.

Menurut Sri Ram, seorang pegawai Penjara Kajang memaklumkan kepada pihak pendakwaan bahawa perkara itu berkaitan dengan ubat tekanan darah Najib yang telah diubah.

"Saya dimaklumkan oleh Jabatan Penjara bahawa ubat tekanan darah tinggi tertuduh ditukar dan ia menyebabkan kesan teruk kepadanya.


“Dia perlu dihantar ke hospital. Bagaimanapun, dia boleh bertahan untuk berada di mahkamah dalam prosiding ini sehingga jam 12.30 tengah hari dan selepas itu perlu bersiap untuk dirujuk ke hospital pada jam 2 petang ini," katanya.

Pendakwa raya seterusnya memohon penangguhan awal perbicaraan jenayah berikutan Najib perlu dirujuk ke hospital hari ini.

Sequerah kemudian membenarkan permohonan penangguhan awal prosiding hari ini, dan perbicaraan kemudian diteruskan dengan keterangan saksi pendakwaan ke-37, R Uma Devi, yang menguruskan cawangan AmBank di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat pertuduhan rasuah di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.


Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa salah laku di 1MDB dilakukan oleh ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan beberapa yang lain, dengan restu Najib.

Pasukan pembelaan tertuduh bagaimanapun mendakwa bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu tidak mengetahui jenayah yang dilakukan di 1MDB dan penyelewengan itu hanya didalangi oleh Low dan ahli pengurusan firma pelaburan negara yang lain.

Kedua-dua 1MDB dan SRC International dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Najib juga pernah menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB dan berkhidmat sebagai penasihat emeritus kepada SRC International.

Dia kini menjalani hukuman penjara 12 tahun, selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos menolak rayuannya terhadap sabitan SRC International atas tujuh pertuduhan jenayah, serta hukuman penjara dan denda RM210 juta sebagai ganti penjara lima tahun tambahan. – Mkini




ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram