5 Adun Umno Sabah umum keluar parti, sertai Gagasan Rakyat



KOTA KINABALU: Lima Adun Umno Sabah, hari ini, mengumumkan keluar dari parti itu untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Ketua Menteri Hajiji Noor.

Mereka ialah Yusof Yacob (Sindumin), Jasnih Daya ( Pantai Dalit), Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), Hamid Awang (Balung) dan James Ratib (Sugut).

Pengumuman itu dibuat pada sidang media khas dipengerusikan Yusof di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, sebentar tadi.

Turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat ialah tiga Adun Warisan yang mengumumkan keluar parti awal bulan ini.


Mereka ialah Norazlinah Arif (Kunak), Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) dan Mohammad Mohamarin (Banggi).

Selain itu, Yusof berkata, beliau bersama lapan Adun lain telah “berfikir masak-masak” mengenai hala tuju politik mereka di Sabah berdasarkan beberapa prinsip.

Menurutnya, ia termasuk mentaati dan mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa perlunya kestabilan politik dalam negara dan setiap negeri termasuk Sabah.

Katanya, kerajaan negeri perlu kuat dan stabil serta bersatu padu untuk mencapai pembangunan dan kemajuan Sabah.


“Kami juga sedar bahawa perpecahan dan sengketa berpanjangan telah membantutkan pembangunan, kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kestabilan politik adalah kunci utama keyakinan pelabur tempatan dan luar untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.

“Oleh itu, kami lapan Adun (lima dari Umno dan tiga bekas Adun Warisan) memberi sokongan sebulat suara kepada Anwar Ibrahim selaku perdana Menteri dan kerajaan perpaduan yang beliau terajui serta memberi sokongan sebulat suara kepada Hajiji Noor selaku ketua menteri dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:

 

Join our Telegram Channel
Telegram